
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular satu video di media sosial memaparkan dua orang murid perempuan yang dilanggar sebuah motosikal sewaktu sedang melintas di garisan Zebra di hadapan sebuah sekolah di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Susulan itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah memaklumkan polis sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti identiti penunggang motosikal itu dan mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Polis Kesan Penunggang Motosikal Langgar 2 Pelajar Perempuan Sedang Melintas Di Hadapan Sekolah [Video]
Lelaki mengaku tak bersalah tunggang motosikal tak cermat dan tidak bertimbang rasa hingga menyebabkan kemalangan terhadap 2 murid
Hari ini (1 Oktober) penunggang motosikal terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan menunggang motosikal dengan tidak cermat serta tidak bertimbang rasa, sehingga mengakibatkan kemalangan ke atas dua murid sekolah pada September lalu.
Individu yang dikenali sebagai Mohamad Amin Abdul Hamid berusia 24 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali serta mohon untuk dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal Honda RS-X dengan tidak cermat serta tidak bertimbang rasa ke atas orang lain, sehingga berlakunya kemalangan kepada dua orang pejalan kaki.
Penunggang motosikal bekerja sebagai pembantu khidmat am
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan oleh penunggang motosikal yang juga seorang pembantu khidmat am di Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah sekitar jam 7.20 pagi pada 23 September yang lalu, lapor Berita Harian.
Penunggang motosikal berkenaan didakwa di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM10,000 dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan.
Penunggang motosikal itu diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Puvirajan dan pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun.
Mahkamah benarkan wang jamin RM7,000
Sewaktu prosiding, Siti Nur Amalina telah memohon agar pihak mahkamah menetapkan jaminan bernilai RM10,000 ke atas penunggang motosikal itu.
Walau bagaimanapun peguam mewakili penunggang terbabit, Puvirajan membuat rayuan agar jaminan minimum dikenakan kepada anak guamnya memandangkan lelaki itu baru bekerja selama empat bulan dan juga menanggung ibu bapanya.
Oleh itu, mahkamah lalu membenarkan lelaki tersebut diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 November depan untuk sebutan semula kes.






