
JOHOR BAHRU: Dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum merempuh tembok pembahagi jalan di Jalan Bukit Impian-Senai dekat sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi Wan Yusof berkata dalam kejadian pada 3.15 pagi itu, mangsa N. Khatiravan, 23, dan M. Arvindran, 20, telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Terdapat lima mangsa terperangkap di dalam kereta tersebut sebelum Pasukan Keluaran Operasi bertindak mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan ‘rescue tools’.
“Tiga lagi mangsa iaitu V. Thineswaran, 22, mengalami cedera parah, S. Arivin, 24, dan Muhammad Syafiq Abdullah, 36, masing-masing mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Nor Affendi berkata operasi melibatkan kekuatan 20 anggota itu tamat sepenuhnya pada 4.35 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -Bernama


![“Bila Berdoa, Tak Pakai Aku Kau” – Berjaya Selesaikan Hutang RM1.2 Juta, Ariff Peter Kongsi Amalannya [Video]](https://cdn.newswav.com/img/web-revamp/broken-placeholder.png)
