
KULAI: Dua mekanik termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) lembam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya di Leburaya Linkedua, Gelang Patah, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Riduan Abd. Ghani, 26, dan Muhamad Aiman Izzuddin Sukri, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, R. Salini.
Mengikut pertuduhan, mereka yang menunggang motosikal Yamaha didakwa menunggang secara melulu dan merbahaya kepada pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Linkedua, pada pukul 7 pagi, 22 Ogos lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan penjara lima tahun, denda RM15,000 dan boleh hilang kelayakan memiliki lesen memandu, jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong memohon kedua-dua tertuduh ditawarkan jaminan berjumlah RM10,000 sebagai pengajaran kepada masyarakat Umum.
Peguam, Amarpreet Singh Rajwinder Singh yang mewakili Mohamad Riduan memohon jaminan ringan memandangkan anak guamnya berpendapatan RM1,700 selain menanggung isteri serta bapa yang uzur.
Sementara itu, peguam, Abd. Rahim Ali yang mewakili Muhamad Aiman pula berkata, tertuduh merupakan pemegang kad OKU dan hanya menetap di bengkel di mana tempat dia bekerja di Sentul, Kuala Lumpur.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan tarikh 5 Oktober depan untuk sebutan semula dan serahan dokumen.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee mengesahkan, sembilan lagi suspek termasuk pempengaruh permotoran yang bertindak menutup jalan demi berlumba haram dibebaskan dengan jaminan polis.-UTUSAN
The post Dua mekanik termasuk OKU dituduh menunggang motosikal secara melulu, merbahaya appeared first on Utusan Malaysia.





