KUALA LUMPUR - Lima motosikal termasuk milik ahli keluarga yang diubah suai secara ekstrem oleh seorang lelaki disita sejak tahun lalu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, siasatan mendapati motosikal digunakan suspek adalah milik bapa saudara, ibu saudara, ayah, adik serta lelaki berusia lingkungan 20-an itu sendiri.
"Lima motosikal itu kita akan dikenakan tindakan lucut hak.
"Kita dapati lelaki itu melakukan ubah suai ekstrem antaranya tiada brek belakang, tayar sotong dan ubah suai enjin serta dipercayai digunakan untuk berlumba," katanya dalam sidang akhbar Op Ekstrem di Pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Beliau berkata, kepada penunggang motosikal 'hardcore' dirayu agar menghentikan tindakan tidak berfaedah ini.
Katanya, JPJ menasihati semua pemilik dan penunggang motosikal supaya memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat serta mematuhi spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan.
"Pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi bukan sahaja merupakan suatu kesalahan, malah boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman masyarakat," ujarnya.






