Dua pasangan majikan, tiga pembantu rumah tarik semula laporan polis masing-masing

9 Sep 2026 • 12:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua pasangan majikan, tiga pembantu rumah tarik semula laporan polis masing-masing

JOHOR BAHRU: Peguam kepada dua pasangan majikan yang didakwa telah memukul tiga pembantu rumah warga Indonesia memberitahu semua pihak terlibat dalam kes mahkamah insiden berkenaan telah menarik laporan polis masing-masing.

Kamal Hisham Jaafar berkata, ketiga-tiga pembantu rumah berkenaan telah hadir ke beberapa balai polis semalam dan menarik balik laporan dibuat terhadap anak guamnya secara sukarela.

Sementara itu katanya, anak guamnya juga telah mengambil tindakan sama dengan menarik balik laporan polis dibuat terhadap pembantu rumah berkenaan.

“Penyelesaian harmoni ini dicapai menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor. Saya berterima kasih kepada semua yang membantu.

“Keputusan yang dicapai ini penting kerana kes ini telah mendapat perhatian ramai khususnya masyarakat tempatan dan juga masyarakat Indonesia yang berada di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tambah Kamal Hisham, pihak polis akan menjalankan temu bual dengan semua pihak yang terlibat menarik laporan polis masing-masing bagi memastikan ia dibuat secara sukarela dan bukan dengan paksaan.

Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini menetapkan tarikh 18 September depan untuk memberi keputusan terhadap dua pasangan suami isteri yang berdepan beberapa pertuduhan termasuk mencederakan tiga pembantu rumah warga Indonesia pada Disember tahun lalu.

Majistret, A. Shaarmini membenarkan permohonan pendakwaan selepas pengadu kes berkenaan mengambil keputusan menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

Keempat-empat tertuduh, Muhamad Firdaus Sha’aban, 33, dan isteri, Nurafiqah Nabila Hazhar, 33, serta Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30, dan isteri, Nurfarah Ainna Hazhar, 34, hadir ke mahkamah bagi mendengar prosiding kes berkenaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari.

Pada 22 Jun lalu, keempat-empat mereka dihadapkan ke mahkamah dengan Muhamad Firdaus didakwa atas lima pertuduhan manakala Nurafiqah, Muhamad Hirzihaziq, Nurfarah Ainna, masing-masing berdepan tiga pertuduhan.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan dengan Nurfarah Ainna dan suaminya masing-masing dikenakan ikat jamin RM9,000, manakala Muhamad Firdaus diberi jamin RM11,500 dan isterinya dibenarkan ikat jamin RM5,500.-UTUSAN

The post Dua pasangan majikan, tiga pembantu rumah tarik semula laporan polis masing-masing appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved