Bekas Pengerusi, bekas CEO TH antara ditahan bantu siasatan isu hibah, AMLA

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 6:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas Pengerusi, bekas CEO TH antara ditahan bantu siasatan isu hibah, AMLA

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu termasuk bekas pengerusi dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH), semalam bagi membantu siasatan kes melibatkan institusi berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada jumlah itu tiga individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pembayaran hibah TH pada 2017.

“Dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tangkapan terbabit, yang turut melibatkan bekas ketua pegawai kewangan TH dan petugas yang masih berkhidmat dengan institusi itu, terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 48 hingga 70 tahun.

Rusdi berkata tiga individu yang disiasat berhubung isu hibah dibenarkan reman selama dua hari hingga esok, manakala dua lagi yang terlibat dalam siasatan di bawah AMLA direman selama tiga hari hingga 11 Sept, dan siasatan masih diteruskan.

Dalam pada itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai diseru agar mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi,” katanya. – BERNAMA

The post Bekas Pengerusi, bekas CEO TH antara ditahan bantu siasatan isu hibah, AMLA appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved