
PETALING JAYA: Juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham dipercayai telah sedaya upaya melakukan pendaratan kecemasan bagi menyelamatkan pesawat sebelum helikopter berkenaan terbakar di hujung landasan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedudukan bangkai helikopter yang ditemukan betul-betul di hujung landasan memberi gambaran bahawa juruterbang berkemungkinan berusaha mengawal pesawat supaya dapat mendarat dengan selamat.
“Kita bernasib baik dan saya percaya mungkin juruterbang ini berusaha untuk mendarat dengan selamat dan ia berada betul-betul di hujung landasan.
“Kalau mungkin di luar sedikit, sudah di dalam hutan, mungkin agak sukar untuk kita membuat operasi menyelamat,” katanya dalam sidang akhbar di Miri, Sarawak hari ini.
Bagaimanapun, sebaik sahaja mendarat, helikopter berkenaan dipercayai terus terbakar menyebabkan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.
Dalam pada itu, katanya, helikopter yang terlibat merupakan model BO-105S keluaran tahun 1991 buatan Jerman.
Jelasnya, helikopter berkenaan telah digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sarawak selama kira-kira 17 tahun sejak 2009 bagi menyokong perkhidmatan kesihatan di beberapa kawasan termasuk Miri, Bintulu, Limbang, Marudi dan Bario. – UTUSAN
The post Kapten Zainol Afiq berusaha lakukan pendaratan selamat appeared first on Utusan Malaysia.





