
KENINGAU: Dua pekerja mengalami kecederaan melecur dalam kebakaran membabitkan sebuah kompresor mesin pemotong kayu di sebuah kilang di Kampung Kuala Biah, di sini, Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata ia menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang dan sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keningau digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan itu yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Norhasrita Abdul Manan tiba di kilang terbabit pada jam 3.27 petang dan mendapati sebuah kompresor mesin pemotong kayu musnah sepenuhnya.
Sebuah Toyota Land Cruiser yang diparkir berhampiran turut musnah dijilat api.
Menurut saksi, kebakaran dipercayai bermula di dalam kilang sebelum berlaku satu letupan yang menyebabkan dua pekerja mengalami kecederaan melecur.
Seorang pekerja lelaki tempatan melecur di bahagian belakang badan manakala seorang lagi pekerja asing melecur kira-kira 80 peratus pada badan.
Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur bangunan kilang sebelum api berjaya dikawal pada jam 3.38 petang.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang selepas pasukan bomba mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.





