
KENINGAU: Polis menahan lima remaja lelaki yang disyaki merogol seorang murid perempuan sekolah rendah berusia 12 tahun 4 bulan di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di sini pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Anak Garai berkata pengadu mencari anak perempuannya sekitar jam 6 petang pada Isnin dan dimaklumkan bahawa mangsa berada di rumah saudaranya bersama beberapa lelaki.
Katanya pengadu kemudian pergi ke rumah itu dan mendapati beberapa lelaki melarikan diri dari tempat kejadian sebelum mereka dipanggil semula.
“Hasil pertemuan, salah seorang lelaki itu dikenali sebagai Alvin (bukan nama sebenar) mengaku telah bersetubuh dengan mangsa tanpa kerelaannya. Seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Cano (bukan nama sebenar) bersama dua rakannya, mengaku meraba beberapa bahagian tubuh mangsa. Seorang lagi yang dikenali sebagai Mawi (bukan nama sebenar) bersetubuh dengannya tanpa kerelaan,” kata Yampil.
Beliau berkata mangsa merupakan anak kedua daripada dua beradik dan bersekolah di sekolah rendah berdekatan.
Yampil berkata pengadu memberitahu polis bahawa mangsa telah menghadiri majlis kenduri kahwin keluarga di sebuah kampung.
Katanya, siasatan awal menunjukkan mangsa dan rakannya pergi ke rumah seorang ibu saudara (lokasi kejadian) untuk mandi dan berehat selepas membantu di majlis kenduri itu. Tanpa disedari, mereka diekori oleh lima suspek.
Menurut kenyataan mangsa, lima suspek memaksa rakan mangsa untuk kembali ke majlis kenduri kahwin meninggalkan mangsa bersendirian bersama mereka di rumah sebelum kejadian rogol yang didakwa berlaku.
“Kejadian itu berlaku di dalam sebuah bilik kosong di tingkat bawah rumah yang terletak di sebuah kampung dalam kawasan pertanian sayur-sayuran semasa ketiadaan ibu saudara (pemilik rumah),” kata Yampil.
Siasatan lanjut mendapati mangsa dan lima suspek tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau bahan memabukkan ketika kejadian itu berlaku.





