Dua pengasuh taska didakwa menganiaya kanak-kanak

LocalFamily & Parenting
11 Sep 2026 • 3:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua pengasuh taska didakwa menganiaya kanak-kanak

KUANTAN – Dua pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Cenderawasih Indah di sini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menganiaya dua kanak-kanak lelaki dalam dua kejadian berasingan pada Mei dan Ogos lalu.

Tertuduh, Norlida Abdul Razak, 39, dan Zairifah Zainal Abidin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hamri Thamri Mohamad @ Shaharudin.

Mengikut kertas pertuduhan, Norlida didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi di taska berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang pada 15 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Zairifah pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan di premis sama kira-kira pukul 2.30 petang pada 11 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) Akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohamad Zahari manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Rusnizam Abdullah.

Dalam prosiding Wan Nurul Izzati menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Mohd Rusnizam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana Norlida yang sebelum ini bekerja sebagai guru taska hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,400 sebulan dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya yang uzur.

Bagi Zairifah pula, peguam berkenaan memaklumkan anak guamnya merupakan pemegang kad talasemia selain perlu menyara ibunya dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.

Hakim kemudiannya membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau mana-mana saksi yang terlibat dalam kes tersebut.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Oktober depan dan bagi tujuan serahan dokumen.

Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas rakaman video yang memaparkan dakwaan kekasaran terhadap kanak-kanak di taska terbabit tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

The post Dua pengasuh taska didakwa menganiaya kanak-kanak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved