Dua penunggang basikal maut: Jenazah Syazwan Zharif diterbangkan ke Kuching

21 Aug 2026 • 3:25 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua penunggang basikal maut: Jenazah Syazwan Zharif diterbangkan ke Kuching

PUTRAJAYA: Jenazah Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, salah seorang penunggang basikal yang maut dirempuh kereta malam tadi akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak untuk dikebumikan di kampung halaman.

Isteri arwah yang mahu dikenali sebagai Shaqira, 30, berkata, jenazah suaminya akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada pukul 6.25 petang ini.

Katanya, proses bawa pulang jenazah diuruskan dan dibantu oleh Rumah Anak Sarawak termasuk dalam aspek penerbangan.

“Selepas kami mengetahui kejadian itu, ibu saya menghubungi Rumah Anak Sarawak (untuk bantuan). Jadi, semua urusan, Rumah Anak Sarawak akan uruskan.

“Jenazah akan diterbangkan ke Kuching pada pukul 6.25 petang dan akan dijangka dikebumikan sekitar pukul 9 hingga 10 malam selepas urusan kargo selesai,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Syazwan Zharif telah dituntut waris kira-kira pukul 2.08 petang untuk dibawa pulang ke Kuching selepas proses bedah siasat selesai.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kali terakhir beliau berjumpa suaminya, Shaqira berkata, pertemuan itu berlaku kira-kira pukul 8.30 malam semalam sebelum arwah keluar untuk berbasikal.

“Suami suka berbasikal dan sering berlatih untuk persediaan menyertai acara Powerman Malaysia dan Lekas Ride 2026 nanti.

“Kedua-dua mereka (mangsa) memang suka berbasikal bersama-sama termasuk pada waktu hujung minggu dan waktu malam.

“Sepatutnya semalam mereka berlatih beramai-ramai juga, tetapi hanya mereka berdua sahaja yang berbasikal untuk persiapan Lekas Ride 2026,” katanya.

Menurutnya lagi, suaminya juga merupakan seorang mempunyai ramai kawan berikutan sikapnya yang ceria, periang dan ramah dengan semua orang.

Katanya, beliau juga akan menyerahkan segala urusan kepada pihak polis bagi membuat siasatan lanjut insiden berkenaan yang mengorbankan kedua sahabat baik itu.

Terdahulu, dua penunggang basikal maut akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Persiaran Selatan, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam di Kilometer 9 itu, mangsa, Mohd. Hilmi Tahar, 48, dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit dipercayai mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum melanggar kedua-dua mangsa. – UTUSAN

The post Dua penunggang basikal maut: Jenazah Syazwan Zharif diterbangkan ke Kuching appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved