Dua penyelam dikhuatiri hilang di Pulau Redang

LocalTravel
14 Mar 2026 • 10:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Radius operasi pencarian meliputi kawasan sekitar Pulau Bidong, Pulau Geluk, Pulau Tengkorak serta Pulau Pinang di Pulau Redang.

KUALA NERUS - Kegembiraan sekumpulan penyelam bertukar detik cemas apabila dua daripada mereka dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pasir Akar Marine Park, Pulau Redang, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa terlibat merupakan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun berasal dari Kajang, Selangor dan seorang warga China berusia 42 tahun.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 12.45 tengah hari.

"Susulan laporan itu, sebuah bot daripada Jabatan Perikanan Terengganu bersama tujuh anggota penyelamat terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak Taman Laut digerakkan bagi memulakan operasi pencarian pada jam 2 petang.

"Operasi turut mendapat bantuan tujuh sukarelawan daripada sebuah resort yang menggunakan dua buah bot milik mereka.

"Difahamkan, salah seorang mangsa merupakan Dive Master manakala seorang lagi ialah Student Diver," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Azli berkata, radius operasi pencarian meliputi kawasan sekitar Pulau Bidong, Pulau Geluk, Pulau Tengkorak serta Pulau Pinang di Pulau Redang.

Bagaimanapun, katanya, operasi tersebut terpaksa ditangguhkan pada jam 6 petang tadi atas faktor keselamatan dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Operasi pencarian terpaksa dihentikan sementara dan akan disambung semula pagi esok susulan keadaan ombak serta gelombang yang agak besar di lokasi kejadian.

"Sehingga kini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.