KUALA NERUS - Dua penyelam yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pasir Akar Marine Park, Pulau Redang di sini pagi Sabtu, ditemui selamat selepas terapung kira-kira 12 jam di lautan.
Mangsa yang merupakan seorang jurulatih selam skuba (divemaster) tempatan, Shahimi Zainal Abidin, 30, dan seorang pelancong warga China, Tan Yan Song, 43, ditemui kira-kira jam 9.45 malam oleh bot pencari 'Black Jack' dari Redang Divers.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kedua-dua mangsa ditemui di kawasan berhampiran Pulau Yu, iaitu kira-kira 10 batu nautika dari lokasi asal mereka dilaporkan hilang.
"Kejadian bermula apabila sebuah bot dari pusat penyelaman bertolak dari Jeti Laguna menuju ke kawasan Pasir Akar pada jam 9.15 pagi untuk aktiviti menyelam yang dijadualkan bermula jam 10 pagi.
"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang semasa aktiviti tersebut dijalankan, sebelum laporan polis dibuat oleh pihak berkuasa pada jam 12.45 tengah hari," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Susulan kejadian itu, satu Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah diaktifkan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin.
**media[3463906]**
Menurut Azli, selepas12 jam bertarung nyawa di tengah laut, mangsa akhirnya berjaya dikesan oleh bot sukarelawan yang turut membantu operasi pencarian tersebut.
"Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Redang untuk pemeriksaan awal sebaik sahaja tiba di darat.
"Mereka kemudiannya dirujuk ke Bahagian Kecemasan Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil buat masa ini," ujarnya.
Operasi SAR tersebut turut melibatkan bantuan bot-bot daripada pengusaha resort tempatan yang digerakkan sejurus maklumat kehilangan diterima.



