
SHAH ALAM, 28 JULAI: Dua premis makanan di pekan Sungai Besar diarahkan tutup selama 14 hari selepas gagal mematuhi aspek kebersihan melalui Ops Bersih Premis Makanan yang dijalankan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), semalam.
MDSB berkata pihaknya turut mengeluarkan lima kompaun atas pelbagai kesalahan selepas menjalankan pemeriksaan di enam premis dan tindakan dibuat mengikut Undang Undang Kecil Establisymen Makanan (Majlis Daerah Sabak Bernam) 2007.
“Penguatkuasaan ini bertujuan memastikan agar semua premis makanan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk pengunjung serta peniaga.
“MDSB komited dalam melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan premis makanan demi kesejahteraan dan kesihatan bersama.
“Operasi yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan & Persekitaran dan Jabatan Penguatkuasaan MDSB turut disertai Mohd Azreen Ariffin yang bermula jam 4 petang hingga selesai,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Pihak berkuasa tempatan itu turut meminta orang ramai menyalurkan aduan kepada MDSB jika terdapat premis yang kotor atau beroperasi dalam keadaan tidak selamat.




