
KUALA TERENGGANU – Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu berjaya menyelamatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang berada di tingkat dua sebuah sekolah menengah agama di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.33 pagi itu, anggota bomba bertugas mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk dan menenangkan pelajar tingkatan dua yang dipercayai mengalami gangguan emosi terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, seramai tujuh anggota anggota tiba di sekolah itu pada kira-kira dua minit kemudian.
Beliau berkata, anggota bomba bertugas mendapati emosi remaja perempuan terbabit tidak stabil dan cuba bertindak agresif.
“Anggota bomba bertugas mengambil pendekatan psikologi bagi cuba menenangkan dan memujuk mangsa. Alhamdulillah, mangsa akhirnya berjaya dipujuk sebelum tangannya ditarik untuk dibawa ke tempat yang selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Thoyyibah berkata, berdasarkan maklumat awal, pengurusan sekolah mengesyaki pelajar perempuan terbabit mengalami tekanan.
Beliau berkata, ia berikutan penemuan catatan yang mengandungi hasrat untuk mencederakan diri dipercayai ditulis pelajar tingkatan dua berkenaan dalam sebuah buku latihan. – KOSMO! ONLINE
The post 10 minit pujuk pelajar di tingkat 2 sekolah appeared first on Kosmo Digital.






