
KANGAR: Dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mengedar ganja seberat 20 kilogram (kg) pada awal bulan ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamed Azlan Shah Abdul Jaafar, 28, yang bekerja sebagai buruh dan pelayan bar Fauzan Faris Mohamad Fadzli, 27, dengan kedua-duanya hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu ganja seberat 20.0 kg di persimpangan lampu isyarat Politeknik Ulu Pauh, Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun di Arau kira-kira 4.30 petang, 4 Okt lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan dibenarkan terhadap mereka dan mahkamah menetapkan 17 Jan 2024 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-Bernama

