
IPOH – Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pesara berkaitan pembayaran tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang tidak wujud membabitkan kerugian sebanyak RM119,196, antara April hingga Jun lalu
Tertuduh, Noorfarah Surina Ahmad, 42, dan Nurfalah Noordin, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan, dua wanita itu dengan curang menipu seorang lelaki berusia 60 tahun dengan menawarkan bantuan menyelesaikan tunggakan cukai LHDN yang dalam pengetahuan mereka bahawa bantuan tersebut tidak wujud.
Tindakan mereka itu telah mendorong lelaki berkenaan menyerahkan wang berjumlah RM23,000, RM86,196 dan RM10,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdaya.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan mereka di Wisma Hasil di Jalan Tambun Taman Ipoh dalam daerah Kinta pada 10 dan 14 April serta 4 Jun 2026.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin mencadangkan agar tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 selain dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sebulan sekali sehingga prosiding kes selesai.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Noorfarah Surina, Izzat Fakhri Halimi, memohon agar mahkamah mempertimbangkan wang jaminan minima kerana anak guamnya perlu menanggung anak berusia 11 tahun dengan pendapatan RM2,000 sebulan sebagai penganjur acara.
Beliau berkata, bapa tertuduh juga disahkan menghidapi penyakit kronik hingga memerlukan rawatan dialisis berkala.
Sementara peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili Nurfalah, juga memohon mahkamah menawarkan jaminan kadar minimum kerana anak guamnya menghidap penyakit skizofrenia.
Kata beliau, Nurfalah yang juga ibu tunggal dua anak itu menyara hidup dengan wang pencen dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah juga membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan dan menetapkan 24 September depan untuk tarikh sebutan semula dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE
The post Dua rakan didakwa perdaya pesara urusan bayar tunggakan cukai appeared first on Kosmo Digital.






