Dua rakan didakwa perdaya tunggakan cukai, pesara rugi RM119,196

14 Aug 2026 • 6:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua rakan didakwa perdaya tunggakan cukai, pesara rugi RM119,196

IPOH: Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pesara berhubung pembayaran tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang tidak wujud, membabitkan kerugian RM119,196.

Noorfarah Surina Ahmad, 42, dan Nurfalah Noordin, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya menipu seorang lelaki berusia 60 tahun dengan menawarkan bantuan bagi menyelesaikan tunggakan cukai LHDN, sedangkan mereka mengetahui bantuan berkenaan tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang masing-masing berjumlah RM23,000, RM86,196 dan RM10,000 kepada tertuduh.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Hasil, Jalan Tambun, Taman Ipoh dalam daerah Kinta pada 10 dan 14 April serta 4 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin mencadangkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 serta syarat tambahan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sebulan sekali sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Noorfarah, Izzat Fakhri Halimi memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai penganjur acara dan perlu menanggung anak berusia 11 tahun.

Beliau turut memaklumkan bapa tertuduh menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan dialisis berkala.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili Nurfalah pula berkata anak guamnya menghidap skizofrenia serta merupakan ibu tunggal dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,500 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan pendakwaan dan menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula serta serahan dokumen. – UTUSAN

The post Dua rakan didakwa perdaya tunggakan cukai, pesara rugi RM119,196 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved