IPOH - Dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pesara bagi menyelesaikan tunggakan cukai tidak wujud berjumlah kira-kira RM120,000, April lepas.
Noorfarah Surina Ahmad, 42, dan Nurfalah Noordin, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret S. Punitha.
Mereka didakwa menipu Koay Kuang Hew, 60, dengan menawarkan bantuan menyelesaikan tunggakan cukai itu pada 10 dan 14 April serta 4 Jun di Wisma Hasil, Jalan Tambun dalam daerah Kinta.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjarakan hingga 10 tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan mereka melaporkan diri di balai polis sehingga kes selesai.
Peguam Izzat Fakhri Halimi yang mewakili Noorfarah Surina memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang telah berkahwin mempunyai anak berusia 11 tahun dan berpendapatan kira-kira RM2,000 sebagai penganjur acara.
"Anak guam dan keluarganya tinggal di Cyberjaya. Bapanya menjalani rawatan dialisis yang memerlukan kos tinggi selain dia juga memberikan kerjasama semasa direman,” katanya.
Peguam Intan Shafini Mior Shahrin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Nurfalah berkata wanita itu tidak bekerja, sedang menerima rawatan skizofrenia dan dijaga ibu bapa yang berusia.
Punitha membenarkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin berserta syarat dimohon pihak pendakwaan terhadap mereka dan menetapkan 24 Sept untuk sebutan semula kes. - Bernama






