Dua rentung kereta terbabas: Keputusan DNA diperoleh, mayat diserah kepada keluarga - Polis

29 Jun 2026 • 3:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua rentung kereta terbabas: Keputusan DNA diperoleh, mayat diserah kepada keluarga - Polis
Laporan Sinar Harian pada Sabtu berhubung kejadian nahas di DUKE melibatkan tiga penuntut universiti. Gambar kanan: Mohd Zamzuri

KUALA LUMPUR - Dua mangsa maut rentung dalam kemalangan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini Sabtu lalu sudah diserahkan kepada pihak keluarga selepas selesai bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya pada jam 8 pagi Ahad.

Menurutnya, keputusan kemudian diperoleh pada jam 4.30 petang hari sama.

"Hasil analisis mengesahkan bahawa DNA kedua-dua mangsa adalah sepadan dan positif dengan ibu bapa masing-masing.

"Susulan itu, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak keluarga pada jam 6.30 petang semalam (Ahad)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan sebuah kereta BMW 328i Sport terbabas dan terbakar selepas dipercayai dipandu laju sehingga hilang kawalan dan menyebabkan dua penuntut universiti rentung, manakala seorang lagi terselamat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, mangsa yang maut ialah lelaki tempatan berusia 22 tahun dan seorang penumpang lelaki tempatan berusia 21 tahun.

Masing-masing merupakan penuntut Universiti Brisbane, Australia dan Universiti Sunway.

Sementara itu, seorang penumpang lelaki warga Singapura berumur 20 tahun dilaporkan selamat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved