Dua sahabat maut kemalangan motosikal

5 Aug 2026 • 7:17 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua sahabat maut kemalangan motosikal

TEMERLOH: Perjalanan dua sahabat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Chenor, dekat sini untuk mengisi minyak motosikal selepas kelas tambahan dibatalkan, berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 119, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, Muhammad Nazim Dzafran Mohd. Faizul, 17, berasal dari Taman Indera Sempurna, Kuantan dan Muhammad Hafizuddin Abdullah, 17, dari Taman Jaya Diri, Chenor, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecedera­an parah.

Bapa Muhammad Hafizuddin, Muhammad Faizal Mat Daud, 41, berkata, anak sulungnya itu keluar dari rumah di Taman Jaya Diri kira-kira pukul 6.30 petang dan memaklumkan mahu ke Masjid Chenor untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menghadiri kelas tambahan pada sebelah malam.

“Bagaimanapun, kelas tambahan itu dibatalkan. Selepas itu dia bersama rakannya keluar untuk mengisi minyak motosikal.

“Berdasarkan apa yang saya dimaklumkan, mereka pada asalnya hendak mengisi minyak di Pekan Awah, namun tidak diketahui bagaimana mereka boleh sampai ke Temerloh sebelum terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Muhammad Faizal berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

Katanya, kehilangan Muhammad Hafizuddin sangat sukar diterima kerana anak sulung daripada empat beradik itu adalah harapan keluarga.

“Semua anak adalah harapan ibu bapa tetapi dia anak sulung yang banyak membantu keluarga dan menjadi contoh kepada adik-adiknya. Saya tidak sangka pertemuan kami petang kelmarin menjadi pertemuan terak­hir,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Nazim Dzafran yang tinggal di Taman Indera Sempurna juga sering bersama anaknya memandangkan mereka rakan sekelas di SMKA Chenor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal ditungagang mangsa, kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha LC135 ditunggang dua pelajar itu dalam perjalanan dari Temerloh menghala Chenor. –UTUSAN

The post Dua sahabat maut kemalangan motosikal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved