KUALA LUMPUR - Kehadiran dua kenderaan utiliti sukan (SUV) di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta di sini mencuri tumpuan pengamal media yang berkampung di sini pada Selasa.
Dua kenderaan itu dilihat tiba kira-kira jam 3.39 petang, sebelum terus memasuki kediaman Najib.
Media bagaimanapun tidak dapat memastikan tujuan kedatangan individu dalam kedua kenderaan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan sebuah kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilihat memasuki pintu hadapan kediaman bekas Perdana Menteri itu kira-kira jam 1.57 tengah hari.
Kenderaan itu bagaimanapun dilihat keluar meninggalkan kediaman ini kira-kira jam 2.15 petang.
Sebelum itu, suasana kekal tenang di kediaman Najib di sini dengan kawasan luarnya menjadi tumpuan para pengamal media sejak beberapa hari lalu.
**media[3655383]**
Keadaan ini selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Sinar Harian turut melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi memaklumkan, setakat hari ini bayaran denda sebanyak RM50 juta membabitkan bekas Perdana Menteri itu sebelum beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah secara bersyarat, masih belum dilunaskan.
"Setakat ini, tiada lagi perkembangan mengenai bayaran denda.
"Jabatan Penjara juga dijangka mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah beliau (Najib). SOP ini memperincikan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan," katanya pada Selasa.
Perkembangan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak hanya dimaklumkan pada Sabtu lepas oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa jumlahnya sudah mencecah RM1 juta.
Namun, setakat Selasa, jumlah terkini masih menjadi teka-teki.





