
LANGKAWI – Perjalanan pulang dua pelajar lelaki dari sekolah berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Jalan Nyior Chabang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.51 tengah hari itu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang berusia di bawah 16 tahun itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah iaitu dari arah Simpang Kenyum menuju ke Nyior Chabang.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai sedang memotong dua buah kereta yang bergerak sehala dengannya.
“Motosikal itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah hadapan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, impak perlanggaran yang kuat menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Tiga pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun berada dalam keadaan trauma,” ujarnya.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, di sini untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.-KOSMO! ONLINE
The post Dua remaja lelaki maut ketika pulang sekolah appeared first on Kosmo Online.






