
ATHENS: Dua kru sebuah helikopter pemadam kebakaran terkorban selepas bertembung di udara di Greece pada Ahad, ketika pasukan keselamatan sedang berhempas-pulas memadamkan beberapa kebakaran hutan yang telah memusnahkan kawasan yang luas.
Dua helikopter jenis Bell yang disewa dilaporkan bertembung ketika mengendalikan operasi memadam kebakaran hutan di kawasan Psatha, barat Athens, menurut kenyataan perkhidmatan bomba.
“Kedua-dua juruterbang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” kata Pengarah Komunikasi Jabatan Bomba, Vassilis Vathrakogiannis dalam satu kenyataan di televisyen.
Rakaman televisyen memaparkan salah sebuah helikopter bertembung dengan sebuah lagi helikopter sebelum meletup dan terhempas.
Seorang lagi kru sebuah helikopter berjaya diselamatkan.
Ratusan anggota bomba kini bertungkus-lumus mengekang kebakaran di barat Athens daripada menghampiri kawasan pinggir ibu negara berkenaan selepas marakan api merebak merentasi kawasan pergunungan semalaman.
Jabatan bomba telah menggantung perkhidmatan kesemua helikopter jenis Bell di kawasan tersebut sementara menunggu siasatan lanjut, lapor saluran televisyen rasmi, ERT.
Dua mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai seorang warga Denmark dan seorang warga Greece, menurut kenyataan daripada Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis.
Tragedi itu menjadikan jumlah korban akibat kebakaran hutan di Greece minggu ini meningkat kepada lima orang, selepas tiga anggota bomba terkorban di Crete dan Peloponnese sebelum ini.
Helikopter-helikopter itu disewa daripada syarikat Australia, McDermott Aviation yang merupakan sebahagian daripada armada 15 buah pesawat. – AGENSI
The post Dua terkorban helikopter pemadam kebakaran bertembung di udara appeared first on Utusan Malaysia.




