
KENINGAU: Sebuah rumah kedai jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Patikang, Kampung Perkaya pada malam Ahad.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian kecemasan 999 pada jam 8.10 malam sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
Komander Operasi Norhasrita Abdul Manan berkata kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai jenis tidak kekal berukuran 60 x 60 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Dua penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 10 malam,” katanya.
Mengulas lanjut Norhasrita memaklumkan operasi ditamatkan selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi situasi bahaya di lokasi kejadian.
Operasi membabitkan 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah lori tangki air.



