
JAKARTA: Pegawai di wilayah Aceh, Indonesia yang terkenal dengan pegangan Islam yang kuat, menyebat dua wanita dan dua lelaki di khalayak ramai, masing-masing sebanyak 100 sebatan kerana melakukan berasmara di luar nikah, menurut laporan wartawan AFP yang menyaksikan hukuman itu.
Keempat-empat mereka yang tidak didedahkan umur masing-masing, disebat di sebuah taman awam di ibu negeri Banda Aceh, dengan puluhan orang berkumpul untuk menyaksikan hukuman tersebut.
Sebahagian daripada orang ramai, termasuk kanak-kanak, menjerit lebih kuat ketika sebatan dikenakan berulang kali.
Empat lagi individu menerima 22 sebatan setiap seorang dalam hukuman sebatan pada Khamis kerana kesalahan lebih ringan iaitu kemesraan fizikal, yang boleh merangkumi perbuatan berpelukan dan bercium.
Dua lagi individu menerima tujuh sebatan setiap seorang kerana terlalu rapat antara satu sama lain,yang boleh termasuk berpegangan tangan.
Seorang lagi lelaki dikenakan 20 sebatan kerana mengambil minuman beralkohol.
Kesemua perbuatan tersebut merupakan kesalahan di Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan versi undang-undang Islam Syariah, yang mula berkuat kuasa di wilayah itu pada 2002 dan diperketatkan pada 2015.
Aceh menikmati autonomi khas yang diberikan menerusi perjanjian damai pada 2005 bagi menamatkan gerakan pemisah selama 30 tahun di wilayah tersebut. – AFP
The post Dua wanita, dua lelaki disebat 100 kali di Aceh appeared first on Utusan Malaysia.




