
PETALING JAYA: Tiada rezeki Malaysia untuk menyaksikan tiga beregu lelaki negara mara ke suku akhir, selepas Arif Junaidi-Yap Roy King terkandas di pusingan ketiga pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, hari ini.
Gandingan No. 19 dunia itu mempamerkan persembahan yang baik, sebelum mereka tewas kepada pasangan tuan rumah, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 23-21, 19-21, 17-21 dalam masa 1 jam 22 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan Arif-Roy King masih gagal untuk memecah ‘telur’, apabila tumpas buat kali keenam berturut-turut di tangan beregu No. 5 dunia itu.
Malah, mereka juga gagal untuk mengiringi dua lagi beregu Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang telahpun melayakkan diri ke suku akhir lebih awal.
Arif-Roy King yang melakukan penampilan kedua pada Kejohanan Dunia, mengulangi pencapaian sama iaitu mara sehingga ke peringkat 16 terbaik.
Pada edisi 2025, dalam aksi sulung mereka, Arif-Roy King kalah kepada beregu senior, Aaron-Wooi Yik dan kali ini, sekali lagi gandingan itu terpaksa akur kepada lawan yang lebih berpengalaman.
Memandangkan perjalanan Arif-Roy King di Kejohanan Dunia sudahpun berakhir, beregu itu akan berpisah untuk kembali beraksi bersama gandingan baharu masing-masing dalam baki kejohanan Jelajah Dunia BWF sehingga hujung tahun ini.
Arif akan kembali bergandingan bersama pemain remaja, Kang Khai Xing, manakala, Roy King berpasangan dengan Tee Kai Wun. – UTUSAN
The post Kemaraan Arif-Roy King disekat Rankireddy-Shetty appeared first on Utusan Malaysia.






