‘Dapat jemputan Siti, saya sujud syukur, hati menangis’

LocalEntertainment
21 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dapat jemputan Siti, saya sujud syukur, hati menangis’

NORANIZA Idris, nama yang kembali rancak menjadi bahan bualan ramai selepas diumumkan sebagai artis jemputan Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 17 Oktober depan.

Pemilihannya untuk muncul pada konsert tradisional di TM Stadium Nasional Bukit Jalil itu mendapat restu khalayak, khususnya mereka yang merindui untuk menyaksikan gabungannya bersama Siti di satu pentas yang sama.

Manakan tidak, kali terakhir mereka berduet mendendangkan lagu ikonik, Hati Kama adalah sekitar 20 tahun lalu.

Membuka cerita mengenai perasaan ketika ditawarkan menjadi artis jemputan untuk konsert tradisional berskala mega tersebut, Noraniza sebak ketika dihubungi pengurus Siti iaitu Rozie.

“Selepas dapat jemputan, saya sujud syukur dan hati menangis. Selepas dijemput, dua hari juga tak berkongsi dengan suami sebab nak menyusun ayat kerana dia seorang ‘penyedih’.

“Sebelum itu dia memang fikir nak beli tiket dan pergi menonton konsert, kemudian selepas saya beritahu dijemput, suami sangat terkejut.

“Dua tiga hari juga saya tak boleh tidur, perasaan risau dan takut semua ada. Sebelum nak umumkan saya artis jemputan pun sudah rasa seram sejuk,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Penyanyi Dikir Puteri itu tidak berhenti berdoa agar diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik sepanjang tempoh menjelang hari konsert.

“Sekarang saya tak mahu mengalirkan air mata dan kena kuat sehingga tiba hari konsert.

“Mungkin selepas itu baru saya menangis. Insya-Allah akan cuba buat sehabis baik dan cuba mencipta satu kenangan yang sangat indah buat semua penonton.

Penyanyi berusia 58 tahun itu juga mengakui mengagumi semangat Siti yang mengangkat martabat irama tradisional tanah air dalam konsert yang akan turut disertai Haziq Rosebi, Lesti Kejora dan King Nassar itu nanti.

Ujarnya, tidak semua penyanyi mampu untuk melakukan perkara sebegitu kerana memerlukan banyak usaha dan pengorbanan yang tinggi.

“Apa pun saya tabik pada Siti kerana nak adakan sebuah konsert besar sebegini menuntut pengorbanan yang sangat besar.

“Dapat sepentas dengan dia juga nanti adalah satu penghargaan yang sangat tinggi pada saya,” jelasnya yang menyerahkan sepenuh kepercayaan untuk konsep persembahan pada hari tersebut kepada Siti.

Ditanya keinginan untuk merakam lagu baharu bersama Biduanita Negara itu, Noraniza terbuka sekiranya diberikan peluang dan meraih persetujuan bersama.

“Saya tiada masalah nak muncul dengan lagu duet bersama Siti tetapi semua itu bergantung kepada keputusan empunya badan.

“Cuma sekarang masing-masing ada komitmen dan fokus lain dalam kerjaya,” ujarnya.

Segan

Anak kelahiran Kluang, Johor itu sempat mengulas jolokan Ratu Irama Malaysia yang sinonim dengan dirinya sehingga dikenali generasi muda hari ini.

Meski jolokan tersebut kedengaran gah, dia yang kini banyak terlibat dengan program komuniti sebaliknya berasa segan kerana tidak mempunyai karya baharu untuk dijual kepada khalayak.

“Bila orang beri gelaran Ratu Irama Malaysia, Ratu Etnik dan sebagainya, sebenarnya saya malu.

“Sejujurnya saya segan kerana saya merasakan perlu ada sesuatu yang bukan dilihat daripada perjalanan seni terdahulu sebaliknya memerlukan satu hal yang membawa saya ke depan dan saya tidak melakukan perkara tersebut.

“Sebab itu sejak dua tahun lepas, saya kembali muncul dengan single, sekurang-kurangnya untuk arkib lagu-lagu baru,” jelasnya.

Katanya, lagu baharu penting untuk kekal relevan sehingga hari ini.

“Saya bukan nak bersaing dengan penyanyi muda tetapi sekurang-kurangnya ada produk baru yang boleh dijadikan repertoir pada zaman sekarang, tidaklah asyik Dikir Puteri saja.

“Tapi, saya tetap bangga kerana lagu-lagu seperti Awallah Dondang dan Tinting yang membawa nama saya sehingga sekarang.

“Semua itu hasil pengorbanan yang saya lakukan dahulu dan nikmatnya dirasai sekarang,” akhirinya.

 

KANAN: Menjelang hari konsert, Noraniza hanya mahu memastikan kesihatannya berada dalam keadaan baik demi persembahan yang memuaskan
hati ramai.

 

kiri: Noraniza dan Haziq Rosebi teruja bercampur terharu apabila dipilih Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan Konsert Tradisional Gema Bumantara pada 17 Oktober nanti .
– FIRDAUS JOHARI

The post ‘Dapat jemputan Siti, saya sujud syukur, hati menangis’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved