
IPOH: Dua wartawan wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah lori dari arah belakang di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Kledang Permai, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Bagan Datuk bagi membuat liputan program Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kereta dinaiki kedua-dua mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat susulan lampu merah sebelum dirempuh sebuah lori dari arah belakang sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di laman Facebook rasminya menitipkan doa agar kedua-dua wartawan berkenaan segera sembuh daripada kecederaan yang dialami.
“Allahuakbar, pilu hati saya menerima khabar dua rakan media daripada BERNAMA dan NST yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk membuat liputan program di Bagan Datuk awal pagi tadi.
“Saya dimaklumkan kedua-duanya kini sedang menerima rawatan dan seorang daripada mereka masih berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Saya mendoakan semoga Dina dan Zahra dipermudahkan segala urusan rawatan serta dikurniakan kesembuhan yang sebaik-baiknya.
“Insya-Allah, kita sama-sama doakan agar kedua-duanya segera pulih dan kembali sihat seperti sediakala,” katanya. – UTUSAN
The post Dua wartawan kemalangan ketika perjalanan ke program Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.






