
KULAI – Seorang lelaki berstatus duda ditangkap berkhalwat dengan wanita dari seberang dalam bilik di sebuah rumah sewa selepas pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan serbuan di Senai pagi tadi.
Tangkapan dilakukan oleh anggota penguat kuasa JAINJ kira-kira pukul 1.10 pagi, hasil maklumat dan aduan daripada penduduk setempat.Menurut JAINJ, ketika serbuan, pintu utama rumah tersebut ditutup rapat, tetapi tidak berkunci sebelum anggota penguat kuasa mengetuk salah satu pintu bilik untuk pemeriksaan.“Selepas lima minit diketuk, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an yang berseluar pendek dan tidak berbaju membuka pintu.“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan menemui wanita berusia dalam lingkungan 20-an dari negara seberang sedang terbaring di atas katil dalam keadaan berselimut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.JAINJ menjelaskan, lelaki itu cuba meyakinkan penguat kuasa bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, namun gagal mengemukakan dokumen perkahwinan yang sah sebelum akhirnya mengaku hanya bertemu untuk berdua-duaan di dalam bilik tersebut.“Siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di Kulai, manakala wanita pula yang masih bujang bekerja di Senai,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana berkhalwat. – KOSMO! ONLINE
The post Duda ‘kantoi’ dicekup khalwat dengan gadis seberang appeared first on Kosmo Online.





