
Sesi persekolahan 2026 bakal tiba ke penghujungnya, kebiasaannya ketika ini pelajar sedang sibuk berdepan dengan peperiksaan.
Namun, situasi itu berubah sejak minggu lalu apabila beberapa negeri menangguhkannya kerana jerebu, sekolah ditutup ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sekolah tutup, namun pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) masih berjalan, kerja sekolah masih perlu disiapkan dan semua keistimewaan ini bukan tiket pergi bercuti atau pulang ke kampung.
Sesi persekolahan 2027 bakal bermula pada 4 Januari ini, pastinya ibu bapa telah membuat persiapan barangan keperluan anak-anak yang masih menuntut ilmu.
Bagi mereka yang mempunyai anak ramai pasti terasa jika duit perlu dikeluarkan sekali gus, justeru keperluan perlu dibeli sedikit demi sedikit agar tidak terbeban di kemudian hari. Baju sekolah masih elok tidak perlu diganti, beri tumpuan pada buku-buku dan keperluan lain.
Justeru, pengumuman Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 memberi kelegaan kepada ibu bapa. Lima anak bersekolah akan dapat RM1,000. Namun, ini juga bukan tiket beli baju raya.
Ada ibu bapa yang sangat menunggu pengumuman ini, bukan kerana mereka tiada duit atau tidak melakukan persediaan tetapi kerana bantuan dihulurkan kerajaan bakal mencukupkan kewangan mereka lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Selain bantuan BAP RM200, elaun sara hidup kepada pelajar tingkatan enam sebanyak RM2,500 dilihat satu anjakan paradigma dalam menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian.
Elaun pertama kali diperkenalkan ini menyamai kadar elaun pelajar matrikulasi dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 90,000 pelajar.
Masalah kewangan boleh menyebabkan sesetengah pelajar sukar meneruskan persekolahan, malah ada yang terus memasuki alam pekerjaan apabila gagal mendapat tawaran belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Dengan adanya elaun sara hidup, pelajar mempunyai bantuan tambahan untuk memenuhi keperluan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pengakuan seorang pelajar yang membantu ibu menjual kuih dan menjadi hos live TikTok demi mengumpul wang untuk menyambung pengajian di tingkatan enam membuktikan bahawa elaun ini tepat dalam meringankan beban mereka.
Seterusnya melalui elaun diberi, ia dapat memperluas peluang pendidikan kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang ekonomi.
Apabila keperluan asas lebih terjaga, pelajar dapat memberikan lebih banyak perhatian kepada pembelajaran, tugasan dan persediaan peperiksaan tanpa perlu bimbang tentang perbelanjaan harian.
Secara tidak langsung, bantuan tersebut menunjukkan bahwa laluan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) juga penting sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Pembaharuan ini memberi nilai tambah kepada pelajar SPM yang akan mula menduduki peperiksaan pada 26 Oktober ini dalam meneruskan pengajian di peringkat prauniversiti dan merencana masa depan.
The post Dulu belajar tanpa elaun, kini RM2,500 appeared first on Kosmo Online.






