Johor adakan solat hajat, mohon jerebu beransur pulih

LocalEnvironment
12 Oct 2026 • 5:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Johor adakan solat hajat, mohon jerebu beransur pulih

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan melaksanakan solat hajat di seluruh masjid dan surau negeri ini bermula malam ini, susulan keadaan jerebu serta bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang masih berada pada tahap tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, langkah itu dilaksana sebagai usaha memohon pertolongan dan perlindungan Allah agar keadaan jerebu di Johor beransur pulih.

Menurut beliau, pelaksanaan solat hajat berkenaan akan diadakan secara berterusan di semua masjid dan surau selepas solat fardu Maghrib sehingga kualiti udara dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.

“Umat Islam turut digalak memperbanyakkan doa dan munajat agar kualiti udara kembali baik di samping kesihatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Sehubungan itu, seluruh umat Islam di negeri Johor diseru untuk bersama-sama menyertai solat hajat serta memperbanyakkan doa dan munajat agar keadaan jerebu dapat diatasi dengan segera,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap usaha ini menjadi ikhtiar bersama dalam memohon kesejahteraan seluruh rakyat.

“Pelaksanaan solat hajat ini juga berupaya menjadi platform penyatuan umat Islam di negeri ini dalam menghadapi ujian fenomena jerebu yang menjejaskan kualiti udara masa kini,” katanya.-UTUSAN

The post Johor adakan solat hajat, mohon jerebu beransur pulih appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved