
BERGELAR ibu bukan sekadar tentang detik menyambut kelahiran si kecil, tetapi juga tentang bagaimana seorang wanita belajar berhadapan dengan 'versi baharu' dirinya sendiri di cermin.
Ada yang perlahan-lahan menerima, ada juga yang berdepan rasa kurang yakin apabila tubuh tidak lagi kembali seperti dahulu.
Perasaan itu turut diluahkan seorang wanita di Threads apabila dia mengakui rasa tidak selesa dengan perubahan badannya selepas empat bulan melalui fasa berpantang, sehingga mengganggu keyakinan diri untuk sekadar bergambar.
“Buruknya rasa lepas bersalin. Dah empat bulan postpartum and mommy pouch and macam empat bulan pregnant when will we get our pink back?
“Rindu nak rasa diri ni cantik and confident. Tadi nak selfie tapi tak jadi sebab buruk,” luahnya yang dikenali sebagai faqihahkhuzairi.
Luahan jujur itu kemudian menarik perhatian pelakon dan usahawan, Atikah Suhaimie, yang tampil berkongsi pandangan sebagai seorang ibu yang pernah melalui fasa sama.
Menurut Atikah yang mesra membahasakan dirinya Tika, setiap wanita perlu belajar menerima perubahan diri selepas bersalin kerana ia adalah proses semula jadi yang hadir bersama pengorbanan menjadi seorang ibu.

“Selamat tinggal kepada diri yang lama, dan selamat datang kepada diri yang baru dan lebih kuat. Sewaktu saya berpantang dulu, lebih selesa pakai baju yang longgar untuk sorok perut buncit.
“Di rumah pun, Tika tetap pakai sedikit lip cream dan bedak supaya nampak lebih berseri,” katanya.
Bukan itu sahaja, Atikah turut berkongsi bahawa dia masih mengambil sedikit usaha untuk menjaga penampilan walaupun hanya berada di rumah.
“Selalu juga saya style rambut untuk rasa diri ini cantik,” tambahnya.
Dalam masa sama, pelakon kelahiran Singapura itu menegaskan bahawa perubahan bentuk tubuh selepas bergelar ibu bukan sesuatu yang perlu diratapi, sebaliknya satu fasa yang wajar dihargai.
“Awak akan dapat semula diri awak yang dulu, dan awak akan cantik semula.
“Tapi untuk sekarang, nikmati keindahan menjadi seorang ibu.”

Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai wanita yang sedang melalui fasa sama, dengan ruangan komen dibanjiri reaksi positif serta kata-kata sokongan.
Antaranya:
“samarambut kena selalu cantik.. muka touchup2 mcmni jugaa sbb kadang malas tapi tak suka tgok muka sendiri pucat kt rumah.. Badan lagi laa berbeza.. layan ja laa selagi BF ni.”
“Aww crying reading this. Now into 3 months postpartum and I still pakai baju baju time pregnant lagi sebab still ada mommy pouch. Thanks Tika for your kind words.”
“Thanks tika for this words, needed this so much..”
Rata-rata bersetuju bahawa fasa selepas bersalin bukan tentang kembali kepada tubuh lama secepat mungkin, tetapi bagaimana seorang wanita belajar berdamai dengan perubahan diri, sambil menghargai perjalanan luar biasa menjadi seorang ibu.

