SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) didakwa gagal memuktamadkan struktur kepimpinan dan gerak kerja pilihan raya di Negeri Sembilan meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dzibubarkan minggu lalu.
Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu(Bersatu), Datuk Seri R Sanjeevan berkata, sehingga kini, gabungan itu masih belum melantik Pengerusi PN negeri serta mengadakan sebarang mesyuarat rasmi bagi menyelaraskan persiapan menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, keadaan itu bukan lagi boleh dianggap sebagai kelewatan biasa, sebaliknya menunjukkan kelemahan serius dalam aspek kepimpinan dan pengurusan gabungan berkenaan.
"Sebagai Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertanggungjawab memastikan struktur kepimpinan negeri dan gerak kerja pilihan raya dimuktamadkan sebelum DUN dibubarkan, bukannya selepas dibubarkan.
"Hakikat bahawa perkara asas ini masih tergantung ketika pilihan raya semakin hampir membuktikan kegagalan membuat persiapan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ahli Majlis Pimpinan Bersatu itu berkata, jentera di peringkat akar umbi ketika ini masih menunggu arahan serta hala tuju yang jelas daripada kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
Jelasnya, kelewatan membuat keputusan hanya akan menjejaskan keyakinan penyokong dan memberi kesan kepada persiapan menghadapi pilihan raya.
"Tiada arahan, tiada penyelarasan dan tiada kepimpinan yang kelihatan. Kelewatan membuat keputusan bukan tanda berhati-hati, ia adalah tanda kelekaan yang akhirnya akan dibayar mahal di peti undi.
"Lebih membimbangkan, PN juga masih gagal menjelaskan kedudukan gabungan itu selepas Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu," katanya.
Ujarnya, isu terbabit melibatkan masa depan serta kelangsungan gabungan itu dan tidak boleh dibiarkan tanpa penjelasan yang jelas kepada ahli serta rakyat.
"Tiada pengerusi negeri, tiada mesyuarat penyelarasan dan tiada penjelasan mengenai hala tuju gabungan.
"Ini bukan sekadar satu atau dua kelemahan pengurusan tetapi kegagalan kepimpinan yang menyeluruh di peringkat tertinggi," katanya.
Beliau mendakwa kekosongan kepimpinan yang berlarutan berisiko menimbulkan keraguan, perpecahan serta menjejaskan keyakinan terhadap gabungan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan PN segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu berkenaan dan membuktikan kemampuan kepimpinan melalui tindakan yang berkesan menjelang pilihan raya negeri.
"Jika keadaan ini tidak diperbetulkan dengan segera, PN tidak perlu menunggu hari pengundian untuk mengalami kekalahan kerana ia sedang berlaku sekarang, perlahan-lahan dan dari dalam.
"Kepada pengerusi PN, rakyat tidak memerlukan kenyataan yang indah didengar, rakyat memerlukan kepimpinan yang tegas dan berkesan.
"Kini tiba masanya untuk membuktikannya melalui tindakan, bukan sekadar dakwaan," katanya.
Untuk rekod, jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan sebelum ini dipegang oleh Pengerusi Bersatu negeri, Mohamad Hanifah Abu Baker.
Namun, beliau mengikut langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi gabungan tersebut tahun lalu.






