DUN Johor Dibubar, PRN Bakal Menyusul

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 5:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

DUN Johor Dibubar, PRN Bakal Menyusul

KUALA LUMPUR - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan secara rasmi hari ini, menerusi pengumuman dibuat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pembubaran tersebut sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan. 

Langkah ini mencetuskan persaingan politik seterusnya di antara negeri terpenting di Malaysia, dengan parti-parti kini mula bersiap sedia menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.  

Onn berkata, keputusan tersebut telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sekali gus menamatkan spekulasi yang berlarutan selama beberapa minggu mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan lebih awal daripada jadual.

Pengumuman tersebut dibuat di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, Johor Bahru.

Mengikut jadual asal, penggal DUN sepatutnya hanya berakhir April tahun hadapan. 

Sejak kebelakangan ini, bahang tekanan politik semakin meningkat apabila barisan pemimpin parti mula mengatur strategi secara terbuka, sekali gus memberi isyarat mengenai kerusi-kerusi yang bakal menjadi medan pertembungan sengit.

Barisan Nasional (BN) memegang kedudukan dominan di negeri itu selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi pada PRN 2022.

Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional dan Muda masing-masing memenangi tiga dan satu kerusi.

BN sebelum ini memberi bayangan untuk bertanding secara solo, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan, dengan PH menyifatkan langkah itu sebagai bertentangan dengan semangat kerjasama di peringkat persekutuan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagi mencapai persefahaman yang lebih jitu  menjelang PRN. - Getaran, 1 Jun 2026