SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, pilihan raya ini bukan sekadar satu pertandingan politik, sebaliknya menjadi medan penting untuk menawarkan penyelesaian lebih baik kepada rakyat.
Tegasnya, tumpuan utama akan diberikan kepada isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat pada masa kini.
"Ia adalah medan untuk menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat khususnya dalam isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran dan masa depan negara," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, Ahmad Samsuri menyeru seluruh kepimpinan, jentera, dan ahli parti komponen PN supaya memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi PRN tersebut.
Beliau menekankan kepentingan semangat kebersamaan, disiplin, serta kesatuan tindakan sepanjang tempoh persediaan ini.
Ahmad Samsuri turut memberi jaminan bahawa PN akan memasuki gelanggang pilihan raya dengan penuh tanggungjawab, matang, dan profesional, serta sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan semua jentera parti agar menjaga keharmonian sepanjang tempoh berkempen dan tidak terjebak dalam amalan politik negatif.
"Saya berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi.
"InsyaALLAH, dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, Perikatan Nasional akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik," tambahnya.




![[TERKINI] DUN Johor Bubar Secara Rasmi Hari Ini, Beri Laluan Untuk PRN Ke-16](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/06/collage-4-300x158.png)

