DUN Pahang: Sistem saliran seluruh Kuantan disemak

23 Nov 2026 • 12:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DUN Pahang: Sistem saliran seluruh Kuantan disemak

KUANTAN: Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di daerah ini dilakukan bagi meningkatkan keupayaan sistem saliran sedia ada supaya dapat mengurangkan risiko banjir kilat susulan pembangunan pesat di sana.

Semakan turut dibuat terhadap sistem saliran di dalam kawasan hartanah persendirian menerusi pembangunan data inventori saliran bagi mengenal pasti rangkaian, laluan, kapasiti serta agensi yang bertanggungjawab menyelenggaranya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kajian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang itu turut meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah yang berdepan keperluan perancangan sistem perparitan lebih menyeluruh.

Katanya, kajian PISMA dijalankan selama dua tahun bermula hari ini hingga 20 November 2028 kerana saliran dalam tanah persendirian ketika ini menjadi antara kekangan kepada pelaksanaan kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan.

“Hasil kajian PISMA akan menjadi panduan kepada JPS, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan jabatan teknikal berkaitan dalam merancang serta melaksanakan projek pembangunan dan penambahbaikan sistem saliran secara lebih teratur.

“Kerajaan negeri juga akan meneliti keperluan pewartaan atau penyediaan rizab bagi laluan saliran strategik, khususnya yang melibatkan tanah persendirian,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Andansura Rabu (PN-Beserah) berhubung pemetaan menyeluruh rangkaian saliran sehingga ke titik pelepasan akhir serta cadangan mewartakan laluan strategik.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM35 juta menerusi JPS bagi melaksanakan kerja berkaitan saliran di tujuh daerah iaitu Kuantan, Pekan, Temerloh, Lipis, Jerantut, Raub dan Maran.

“Peruntukan itu sedikit sebanyak membantu menangani masalah saliran yang dikenal pasti di kawasan terbabit. Kita yakin perancangan yang dibuat menerusi kajian ini dapat mengurangkan risiko banjir,” katanya. – UTUSAN

The post DUN Pahang: Sistem saliran seluruh Kuantan disemak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved