DUN Selangor: Tebatan banjir disemak semula dalam RSK2

LocalEnvironment
7 Aug 2026 • 5:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Banjir RSK2

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menyemak semula projek-projek mitigasi banjir seda ada di negeri ini bagi melaksanakan Projek Infrastruktur Banjir yang komprehensif menerusi Rancangan Selangor Kedua (RSK2) bagi 2026 hingga 2030.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan negeri ini dalam menghadapi perubahan iklim dan bencana dengan memperluas infrastruktur tebatan banjir sedia ada bagi menghadapi risiko tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini kerajaan negeri masih meningkatkan pengurusan saliran air bagi mengurangkan insiden banjir kilat termasuk pelaksanaan amaran awal lebih menyeluruh.

Katanya, antara perancangan dalam RSK2 itu termasuklah Pelan Mitigasi Banjir Selangor (SelFMiP) sebagai pelan strategik yang akan membenamkan perspektif risiko iklim dalam setiap perancangan dasar dan pembangunan daerah.

“Kita sedar bahawa isu banjir masih menjadi satu cabaran yang menyentuh hati rakyat. Setiap episod banjir adalah sebuah tragedi keluarga yang tidak sepatutnya berlaku jika kita merancang dan melabur dengan tepat.

“Sistem Pengurusan Data Iklim Bersepadu akan menyatukan data bencana, hidrologi dan  geospatial merentas agensi negeri, meningkatkan ketepatan amaran awal dan mempercepatkan tindak balas bencana,” katanya ketika membentangkan RSK2 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini.

Beliau ketika membentangkan RSK2 itu memaklumkan sejumlah RM33.31 bilion akan dibelanjakan bagi melaksanakan kesemua perancangan yang melibatkan enam misi, 25 bidang dan 98 inisiatif yang merangkumi pembangunan ekonomi.

Amirudin ketika ditemui menjelaskan, perancangan-perancangan bagi projek SelFMiP akan meneliti semula pelan tebatan banjir terutama bagi kawasan-kawasan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

”Sudah pasti kita akan tengok balik sebab ia akan melibatkan projek tebatan banjir secara menyeluruh yang tidak hanya terhad di kawasan-kawasan sungai.

”Kalau kita tengok dalam beberapa kes terakhir, di sungai clear (tiada masalah). Tetapi masalah berlaku di kawasan PBT. Aliran air jadi delay (tersekat) sebelum masuk ke sungai. Jadi kita kena selesaikan secara keseluruhan untuk projek penyelesaian banjir, “ ujarnya. – UTUSAN

The post DUN Selangor: Tebatan banjir disemak semula dalam RSK2 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved