RS-2 perkasa AI, perkukuh sistem data pintar Selangor

LocalTechnology
7 Aug 2026 • 6:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

RS-2 perkasa AI, perkukuh sistem data pintar Selangor

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Selangor terus mempercepatkan transformasi digital dalam pentadbiran negeri menerusi penerapan kecerdasan buatan (AI) dan pengukuhan sistem perkongsian data antara jabatan serta agensi kerajaan.

Dato' Menteri Besar berkata penerapan dan pemecutan penggunaan AI akan dilaksanakan menerusi program Teraju AI dan Pusat Inkubasi AI Selangor di bawah Selangor International Innovation Centre of Excellence (SLIICE) yang dikendalikan oleh Selangor Technical Development Corporation (STDC).

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, program berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan produk AI untuk agensi kerajaan, pensijilan profesional AI bagi tenaga kerja serta penyediaan platform inkubator bagi membangunkan ekosistem AI Selangor secara menyeluruh.

“Penerapan dan pecutan AI melalui program Teraju AI dan Pusat Inkubasi AI Selangor akan mempercepatkan penggunaan kecerdasan buatan dalam tadbir urus negeri,” katanya ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dalam pada itu, pelaksanaan Central Data Warehouse (CaWah) Negeri Selangor akan diperluas bagi menyatukan data penting negeri daripada pelbagai jabatan dan agensi.

Sistem berkenaan dijangka membantu Kerajaan Negeri membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data, selain meningkatkan kecekapan pengurusan dan perkongsian maklumat antara agensi.

Kerajaan Negeri turut memperkukuh penggunaan data geospatial menerusi Central Spatial Data Platform (CSDP) yang dibangunkan dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Platform berkenaan akan menyokong pelaksanaan dasar berasaskan data geospatial dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan yang terlibat dalam perancangan infrastruktur.

Selain itu, Selangor Urban Observatory (SUO) akan berperanan sebagai pusat analitik negeri yang mengintegrasikan teknologi Internet of Things (IoT) dan data raya bagi menyokong pemantauan serta pengurusan bandar yang lebih pintar.

Kesemua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Misi Keenam RS-2, yang memberi tumpuan kepada pembentukan pentadbiran yang berkesan, responsif terhadap rakyat dan mesra perniagaan.

Misi berkenaan merangkumi empat bidang utama dan 13 inisiatif bagi memperkukuh sistem penyampaian kerajaan serta mengekalkan daya saing Selangor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved