KL berunding dengan Selangor buat kolam takungan banjir

LocalEnvironment
3 Aug 2026 • 3:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KL berunding dengan Selangor buat kolam takungan banjir

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berunding dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi membangunkan lebih banyak kolam takungan banjir di luar ibu negara susulan kekangan tanah untuk melaksanakan projek mitigasi banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihaknya bercadang mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan memandangkan ibu negara kini mempunyai kekangan tanah untuk membangunkan lebih banyak projek mitigasi banjir.

“Kerjasama lebih erat antara Kuala Lumpur dan negeri jiran amat penting bagi memperkukuh daya tahan bandar raya itu dalam menghadapi risiko banjir.

“Langkah seterusnya ialah kita perlu berbincang dengan negeri-negeri lain. Saya sedang cuba mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor. Kita perlu mewujudkan lebih banyak kolam takungan bersama dengan jiran kita.

“Kita tidak mempunyai tanah lagi. Selangor mempunyai tanah, jadi mari kita mulakan perbincangan ini bersama,” katanya ketika berucap dalam sesi panel dalam Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Kebangsaan 2026, hari ini.

Tambah Hannah, kekurangan tanah di Kuala Lumpur menyebabkan DBKL perlu mencari pendekatan alternatif termasuk membina kolam takungan bawah tanah di bawah kawasan taman awam.

Katanya, antara projek yang sedang dibangunkan ialah kolam takungan bawah tanah di bawah Padang Merbok, manakala projek seumpamanya di bawah Taman Botani Perdana telah membantu mengurangkan kejadian banjir di kawasan sekitar Parlimen.

“Sudah tiada tanah untuk membina lebih banyak tasik. Jadi apa yang boleh dilakukan? Kita bina di bawah taman,” katanya.

Hannah berkata, pemaju swasta telah membina lebih 60 kolam takungan di tapak pembangunan masing-masing sebagai sebahagian daripada syarat yang dikenakan DBKL.

Beliau berkata, kerajaan turut mengkaji kemungkinan memberikan hak milik strata berasingan kepada kolam takungan bawah tanah bagi memastikan kemudahan itu tidak terjejas akibat pembangunan masa depan.

“Sekarang saya mempunyai ruang di bawah tanah, adakah saya memerlukan hak milik strata? Ini bagi memastikan sekiranya ada pihak mula membangunkan kawasan bawah tanah, kolam takungan saya tidak hilang,” katanya. – UTUSAN

The post KL berunding dengan Selangor buat kolam takungan banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved