
BAGI Mastura Abd Manap, kejayaan bukan sekadar tentang jawatan, anugerah atau kedudukan yang berjaya dicapai. Lebih bermakna, apabila pencapaian itu mampu membuka ruang kepada wanita lain untuk berkembang dan memimpin.
Sebagai wanita yang banyak memperjuangkan penglibatan wanita dalam selam skuba dan dunia marin, Mastura, 53, sering menjadi inspirasi dalam bidang itu.
Menerajui Malaysia Women Scuba Divers Association (Wasem) sejam 2019 sebagai presiden, wanita kelahiran Negeri Sembilan itu telah menerima pelbagai pengiktirafan atas sumbangannya. Antaranya 100 Wanita Inspirasi Nasional dan anugerah Women Economic Forum (WEF) ASEAN Philippines serta Visionary Leader in Sustainable Marine Tourism & ESG Excellence.
Mastura yang juga seorang usahawan turut meraih Anugerah Personaliti Industri & Usahawan, Exceptional Women of Excellence Award dan APAC Entrepreneur.
Namun, di sebalik pencapaian tersebut, dia yang mesra disapa Mastura sebenarnya memulakan kerjaya ‘jauh’ daripada dunia penyelaman dan pelancongan marin.
Mastura merupakan graduan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru dan membina pengalaman dalam bidang kejuruteraan serta sektor pembuatan bersama beberapa syarikat perunding kejuruteraan selama lebih sedekad.
Pengalaman tersebut membawanya sehingga menjawat ketua jabatan kejuruteraan mekanikal sebelum kehidupan profesionalnya berubah arah.
“Bidang kejuruteraan mekanikal banyak membentuk diri saya ketika ini.
“Kejuruteraan mengajar saya supaya sesuatu keputusan tidak dibuat berdasarkan perasaan semata-mata,” katanya kepada K-Wanita.

Menurut Mastura, ilmu tersebut mengajarnya memahami sistem, mengenal pasti risiko, mencari punca masalah dan menghasilkan penyelesaian.
Menyorot kembali penglibatannya dalam pelancongan marin khususnya selam skuba, anak sulung daripada lima beradik ini memberitahu ia bermula pada tahun 2006.
Ketika itu, dia dan suaminya mencuba selam skuba sebelum kedua-duanya jatuh cinta dengan dunia bawah air.
“Peralihan saya sebenarnya tidak berlaku secara tiba-tiba. Semakin aktif menyelam, kami mula berdepan masalah dalam hobi tersebut apabila harga peralatan agak mahal ketika itu.
Dengan pengalaman suami dalam rangkaian logistik antarabangsa, kami mula mendapatkan peralatan dari luar negara.
“Pada awalnya, peralatan tersebut dibeli untuk kegunaan sendiri sebelum rakan-rakan penyelam turut meminta bantuan mendapatkannya,” kata ibu dua anak itu.
DARI situ, Mastura menyedari masalah tersebut turut dialami penyelam lain, sekali gus membuka peluang perniagaan.Namun, ketika itu dia tidak terus meninggalkan kerjaya kejuruteraan yang ketika itu sudah stabil.
Mastura dan suami masih bekerja sepenuh masa sambil mengusahakan Scubatex (perniagaan yang ditubuhkan sendiri) secara sambilan selepas waktu kerja serta pada hujung minggu.
“Kami menggunakan simpanan sendiri sebagai modal permulaan dan membina perniagaan secara berperingkat.
“Bagi saya, keberanian bukan bermaksud mengambil risiko tanpa berfikir. Sebaliknya, pengalaman sebagai jurutera terus saya gunakan dalam pengurusan risiko, operasi, keselamatan dan penyelesaian masalah,” katanya yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Scubatex Holding Berhad.
Jelasnya, ilmu tersebut turut diaplikasikan dalam bahagian perkilangan Scubatex yang menghasilkan pakaian selam skuba khusus buat wanita.
Berkongsi cerita dan cabaran, Mastura mengakui, dunia skuba sangat teknikal dan jauh berbeza daripada bidang kejuruteraan yang dijawatnya.
Ia melibatkan pelbagai aspek teknikal dan bermain dengan ‘nyawa’ termasuk melibatkan tekanan, regulator, tangki, pemampat dan sistem pernafasan.
Daripada membina perniagaan, Mastura kemudian melihat keperluan lebih besar terhadap penyertaan wanita dalam industri penyelaman.

Maka, bermula 2019, wanita hebat ini antara individu yang mengasaskan Wasem bagi menyediakan ruang pembelajaran, jaringan dan kepimpinan wanita.
“Matlamatnya bukan sekadar melahirkan lebih ramai penyelam wanita di negara ini.
“Kami mahu melihat wanita bergerak daripada peserta kepada penyumbang dan akhirnya menjadi pemimpin.
“Melalui Wasem, wanita digalakkan meningkatkan kemahiran sehingga menjadi dive master, instructor, usahawan dan penganjur program.
“Mereka juga boleh terlibat dalam pemuliharaan marin serta membina kerjaya dalam industri sukan dan pelancongan serta banyak lagi,” ujarnya yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam
Pentadbiran Perniagaan (DBA) di City Universiti Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.
Mastura melihat penyelaman sebagai medium membina keyakinan wanita yang turut memberi kesan kepada kehidupan, keluarga dan kerjaya.
“Apabila seorang wanita yang takut kepada laut akhirnya mampu mengawal pernafasan dan mengurus peralatan sendiri, maka sesuatu telah berubah dalam dirinya.
“Keyakinan itu tidak berhenti apabila dia naik ke darat, tetapi dibawa ke dalam kehidupan,” katanya yang juga seorang penggemar dan pembaca novel.
Menurutnya, ramai wanita sebenarnya mempunyai kemampuan tetapi kurang keyakinan serta belum mendapat ruang yang sesuai untuk berkembang.
Justeru, Wasem turut membawa agenda pemuliharaan alam sekitar kerana penyelam mempunyai tanggungjawab melindungi lautan.

Usaha memperkasa wanita diteruskan menerusi Wisdom Level 1 iaitu Women Leadership Skills in Sports & Tourism Industry of Malaysia.
Program tajaan penuh itu berlangsung kira-kira enam bulan, menggabungkan latihan kepimpinan, kemahiran teknikal, pendedahan praktikal dan jaringan.
Ia dianjurkan Wasem di bawah inisiatif berkaitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama strategik beberapa syarikat.
“Kepimpinan tidak lahir melalui kata-kata sahaja. Kita perlu memberi wanita ilmu, latihan, mentor, jaringan dan ruang untuk benar-benar memimpin,” katanya.
Bagi dirinya, kejayaan terbesarnya apabila melihat Wasem terus kukuh walaupun suatu hari nanti tanpa dirinya di hadapan.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Mastura mahu Wasem mempunyai laluan jelas dari peringkat ‘beginner’ hingga kepimpinan profesional.
Dia mahu lebih ramai wanita bergelar usahawan, penyelam terlatih, pakar teknikal marin, jurulatih, pengurus, ahli lembaga syarikat dan pembuat keputusan.
The post Dunia marin Mastura, ‘bos’ selam skuba wanita Malaysia appeared first on Kosmo Online.

