
PETALING JAYA – Dunia perlu menggembleng kekuatan dan kerjasama bagi memanfaatkan peluang baharu hasil perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan teknologi juga perlu dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemajuan bersama.
Anwar berkata, perkara itu turut dipersetujui Perdana Menteri China, Li Qiang, ketika kedua-dua pemimpin berkenaan bertemu di Hangzhou, China, hari ini.
“Kami senada bahawa dunia perlu menggembleng kekuatan dan kerjasama, memanfaatkan peluang baharu serta memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemajuan bersama,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu, Anwar menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima, iaitu antara acara kemuncak pada hari ketiga lawatan kerja beliau ke Republik Rakyat China.
“Sebagai negara tetamu kehormat, Malaysia buat julung kalinya membuka Pavilion Malaysia di bawah kelolaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.
“Premier Li Qiang turut mengiringi kami meninjau ruang pameran bertemakan ‘Menemui Masa Depan AI di GDTE’, yang menampilkan teknologi mutakhir serta pelbagai inovasi baharu,” ujarnya.
Menurut Anwar, beliau dan Li Qiang turut bertukar pandangan mengenai perkembangan pesat AI serta cabaran yang hadir bersamanya.
“Teknologi dan produk AI harus kekal berada di bawah kawalan manusia, bukan manusia yang dikuasainya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Dunia perlu gembleng kerjasama manfaat peluang AI – PM appeared first on Kosmo Online.





