Malaysia-China teroka kerjasama baharu AI, semikonduktor

LocalTechnology
24 Sep 2026 • 7:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia-China teroka kerjasama baharu AI, semikonduktor

PETALING JAYA – Malaysia dan China bertekad merintis kerjasama baharu dalam sektor berimpak tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor selain terus memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama Premier Li Qiang di West Lake State Guest House, Hangzhou hari ini.

Menurutnya, perbincangan kedua-dua pemimpin turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sektor kerjasama sedia ada yang telah mencapai tahap matang.

“Bicara kami tertumpu kepada tekad bersama untuk merintis kerjasama baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan berimpak tinggi, di samping memperkukuh serta memantapkan lagi kerjasama membabitkan sektor-sektor yang telah sedia matang.

“Perbincangan turut menyentuh pelbagai isu strategik berkepentingan bersama, merangkumi pembangunan AI, kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur, potensi industri semikonduktor serta kerjasama bersama Exim Bank China,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra dan akrab dengan beliau serta Li mengetuai delegasi negara masing-masing.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan China atas bantuan dan kerjasama dalam memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat bencana di Tibet baru-baru ini.

Beliau pada masa sama menyampaikan salam takziah kepada China susulan musibah berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas layanan mesra kerajaan China sepanjang lawatan kerjanya di Shanghai dan Hangzhou.

“Hubungan erat Malaysia dan China hari ini telah melangkaui kerangka diplomatik biasa. Ia menderu di atas landasan kepercayaan, keikhlasan dan keyakinan bersama.

“Ia sekali gus mematangkan persahabatan hakiki demi mengalirkan limpahan kemakmuran serta manfaat buat rakyat kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Malaysia-China teroka kerjasama baharu AI, semikonduktor appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved