amree14/05/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Mei – Fima Corporation Berhad meneruskan momentum kukuh dalam segmen percetakan keselamatan apabila memperoleh kontrak Kementerian Pendidikan bernilai RM197.1 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, tender berkenaan melibatkan kerja percetakan dan pembekalan dokumen sulit kementerian untuk tempoh selama lima tahun sehingga 2031.
Anak syarikatnya, Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN) menerima tiga Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 13 Mei 2026 daripada kementerian berkenaan bagi tiga pakej tender yang berasingan.
"Kontrak tersebut akan membabitkan kerja percetakan dan pembekalan pelbagai dokumen sulit untuk Kementerian Pendidikan bagi tempoh 60 bulan bermula 15 Mei 2026 hingga 14 Mei 2031," tambahnya.
Menurut FimaCorp, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan berkenaan sepanjang tempoh kontrak, tertakluk kepada tiada sebarang keadaan luar jangka.
Risiko utama yang berkaitan dengan kontrak ini adalah risiko operasi dan kos bekalan, namun PKN melaksanakan langkah kawalan sewajarnya bagi mengurangkan serta mengurus risiko secara berkesan.
Syarikat itu turut menjelaskan, kontrak berkenaan adalah sebahagian daripada urusan perniagaan biasa PKN dan tidak memerlukan sebarang kelulusan mana-mana pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan.
"Pada masa sama, FimaCorp menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut," katanya.
Perolehan kontrak baharu itu dilihat mampu memperkukuh keterlihatan hasil dalam segmen percetakan keselamatan, yang kekal menjadi antara penyumbang utama kepada prestasi keseluruhan. - DagangNews.com






