Duopharma terima pensijilan halal bagi produk biosimilar rawatan anemia pesakit buah pinggang

LocalHealth & Fitness
3 Jun 2025 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Duopharma terima pensijilan halal bagi produk biosimilar rawatan anemia pesakit buah pinggang

image is not available

03/06/2025 - 17:26

(Dari kanan ke kiri) : Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Operasi Duopharma Biotech Berhad, Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid, menerima pensijilan Halal daripada JAKIM bagi produk biosimilar yang digunakan untuk merawat anemia pesakit kegagalan buah pinggang daripada Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Ustaz Iszam Padil. Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 3 Jun — Duopharma Biotech Bhd menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi produk biosimilar rawatan anemia berkaitan kegagalan buah pinggang kronik.

Produk itu digunakan oleh pesakit dewasa hemodialisis dan pradiagnosis serta pesakit pediatrik yang menjalani hemodialisis serta dibekalkan kepada hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pencapaian itu memperkukuh komitmen syarikat dalam memperluas akses kepada rawatan halal, selamat, berkualiti, dan inovatif.

"Pensijilan ini menjadi pemangkin untuk kami terus menawarkan pelbagai terapi dan ubat-ubatan halal kepada pengguna dan pesakit," katanya dalam satu kenyataan.

Produk tersebut dihasilkan di kilang Duopharma Biotech di Klang, menandakan kesinambungan kepada pelaburan strategik syarikat dalam bidang biologi.

Pada 2014, Duopharma menjadi syarikat farmaseutikal tempatan pertama menjalankan ujian klinikal Fasa 3 bagi biosimilar Epoetin Alfa bersama rakan usaha sama dari Korea Selatan, Pangen Biotech Inc.

Duopharma memainkan peranan penting dalam pembangunan industri farmaseutikal halal dengan menganjurkan Simposium Farmaseutikal Halal sejak 2016, yang menghimpunkan pakar antarabangsa, pengawal selia, dan pemimpin industri untuk mengukuhkan integrasi farmaseutikal halal dalam sistem penjagaan kesihatan global.

Syarikat memasang barisan pengisian picagari pra-isi pertama di Malaysia untuk mengeluarkan ejen biosimilar pada 2018.

Kementerian Kesihatan menyatakan lebih 106,000 rakyat Malaysia dijangka memerlukan dialisis menjelang 2040 sekiranya kadar penyakit buah pinggang tidak dibendung, dengan lebih 10,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun.

Pada 2022, Duopharma menerima pensijilan halal untuk produk onkologi yang dikeluarkan di fasiliti HAPI di Glenmarie, Shah Alam, bagi rawatan kanser payudara awal dan lanjutan dalam kalangan wanita menopaus.

Selain itu, Duopharma turut menerajui pengeluaran makanan tambahan halal termasuk jenama CHAMPS, Flavettes, Proviton, dan Naturalle yang dikilangkan mengikut standard MS 1500:2009.

Dengan mematuhi piawaian MS 2424:2019 bagi farmaseutikal halal, syarikat terus menetapkan penanda aras industri dari segi inovasi dan pematuhan.- DagangNews.com

standard