Duyong bukan milik mana-mana parti

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 10:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Duyong bukan milik mana-mana parti

MELAKA: Duyong bukan milik mana-mana parti politik atau individu sebaliknya siapa yang akan mewakili kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ditentukan sendiri oleh rakyat.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, beliau hanya menyatakan pihaknya akan melakukan yang terbaik dan berusaha mendapatkan sokongan rakyat apabila ditanya mengenai persiapan menghadapi PRN akan datang.

“Saya akan jawab sekali sahaja. Bila ditanya tentang PRN yang akan datang, saya kata kita akan buat yang terbaik dan berusaha mendapatkan sokongan rakyat. Itu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kenyataan berkenaan bagaimanapun dilaporkan sebagai usaha untuk ‘merampas’ Duyong sehingga mencetuskan pelbagai reaksi termasuk kemarahan sesetengah pihak.

Katanya, terdapat pihak yang menyatakan mahu melawan habis-habisan selain mahu memastikan DAP kalah deposit sekiranya bertanding di kawasan berkenaan.

“Bagi saya, tidak perlu sampai begitu. Kalau mahu bertanding, kita bertanding. Kalau mahu bersaing, kita bersaing.

“Bersainglah dengan dasar, dengan rekod kerja, dengan khidmat kepada rakyat. Tak perlu cipta musuh. Tak perlu timbulkan kebencian,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Duyong diyakini cukup matang untuk menilai sendiri semua tawaran dan rekod setiap parti atau calon yang bertanding.

“Kita tidak perlu tentukan untuk mereka siapa yang patut dipilih. Biar rakyat dengar. Biar rakyat nilai. Biar rakyat tentukan.

“Saya tidak takut untuk bersaing dan saya juga tidak marah kalau ada yang mahu bersaing dengan kita kerana dalam demokrasi, itu memang hak semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap perbezaan politik dan persaingan pada PRN tidak sehingga menyebabkan masyarakat bermusuh sesama sendiri.

“Kita boleh berbeza politik. Kita boleh berlawan dalam pilihan raya. Tetapi akhirnya, kita semua masih mahu yang terbaik untuk rakyat Duyong. Pertandingan biar matang. Keputusan biar di tangan rakyat,” katanya. – UTUSAN 

The post Duyong bukan milik mana-mana parti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved