
SETIAP kali mendengar ada filem yang akan dilancarkan sempena Bulan Kemerdekaan, pasti cerita berkonsepkan perang, biografi tokoh dan pejuang kemerdekaan yang bermain dalam fikiran.
Seperti sudah menjadi jalan cerita wajib yang perlu ditonton rakyat Malaysia setiap kali tiba Ogos dan September.
Bukan hendak mempertikai filem yang mengangkat pejuang kemerdekaan, tetapi saban tahun menonton jalan cerita yang hampir sama, seperti tiada kelainan dalam dunia sinema tanah air.
Jika ada perbezaan sekalipun, apabila beberapa sutradara tempatan mengangkat kisah atlet yang menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa, tetapi jumlahnya boleh dihitung dengan jari.
Namun, tidak dinafikan Leftenan Adnan, Embun, 1957: Hati Malaya dan Paskal merupakan antara naskhah yang berjaya meledakkan rasa cinta terhadap negara selepas melihat pengorbanan anggota badan beruniform mempertahankan tanah air.
Bagaimanapun, semangat patriotisme bukan hanya boleh disemai dengan jalan cerita sebegitu, sebaliknya menerusi kemenangan yang diraih anak tempatan dalam bidang masing-masing.
Bukan sahaja sukan, bidang pendidikan, perubatan, seni, automobil dan kulinari juga mampu menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pencinta karya tanah air.
Perkara itu turut disuarakan Pengarah dan Aktor, Nam Ron yang berpendapat filem patriotik tidak semestinya terikat pada kisah tokoh politik atau pejuang kemerdekaan.
Katanya, industri seni termasuk pelukis dan penggiat seni turut memainkan peranan dalam mengharumkan nama negara menerusi karya dan pencapaian di peringkat antarabangsa.
“Filem patriotik tidak semestinya nak mengangkat tokoh politik sahaja. Tidak dinafikan memang elemen patriotik kuat di situ, namun jangan sesekali lupa insan seperti ahli sukan dan anak seni pernah menaikkan nama Malaysia,” katanya.
Beliau turut berharap pengkarya tempatan akan menghasilkan lebih banyak naskhah yang mampu menyemai rasa cinta terhadap tanah air dan kisah anak Malaysia yang berjaya melonjakkan nama negara.
“Sebagai anak seni, ada kala saya rasa semangat patriotisme semakin pudar berbanding dulu. Harap dengan lahirnya banyak karya tentang wira negara dalam pelbagai bidang selepas ini mampu menaikkan semula semangat terutama orang muda,” katanya.
Sementara itu, aktres, Diana Danielle turut senada dan berpandangan filem patriotik tidak semestinya terlalu menekankan elemen sejarah yang adakalanya sukar menarik golongan muda ke pawagam.
“Kadang-kadang bila terlalu bersejarah, jalan cerita akan jadi terlalu membosankan untuk generasi muda. Hendak menaikkan semangat patriotisme tak perlu jalan cerita sarat dengan sejarah walaupun penting,” ujarnya.
Tambahnya, syarikat produksi tempatan juga perlu lebih berani meneroka kisah menarik anak-anak Malaysia untuk diangkat ke layar perak, sekali gus menjadikan karya patriotik tidak hanya berteraskan sejarah semata-mata.
“Hakikatnya banyak lagi kisah menarik rakyat Malaysia yang kita boleh angkat dan bangga. Harap syarikat produksi tempat mencari individu hebat yang kisah mereka boleh difilemkan dan memberi inspirasi kepada kita semua,” ujarnya.
The post Patriotik bukan hanya tentang sejarah appeared first on Kosmo Online.






