
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merampas pelbagai produk haiwan termasuk karkas ayam yang disyaki menggunakan sijil halal palsu dalam operasi penguatkuasaan di tiga lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, pada Selasa.
Operasi menerusi Ops Salju dan Ops Frozen Fly pada 10 November itu menyaksikan rampasan keseluruhan bernilai RM2,043,787.50, membabitkan karkas ayam, karkas babi serta beberapa peralatan dan aset.
Menurut DVS, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA/WCB).
Operasi yang diketuai Ketua Unit Operasi Khas, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV) Putrajaya itu bertujuan mengesan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan haiwan dan produk haiwan, selain memastikan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa.
Dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor, pihak berkuasa merampas sebanyak 8,562.50 kilogram (kg) karkas babi dengan nilai dianggarkan RM299,687.50.
Sementara itu, operasi di Semenyih, Selangor membawa kepada rampasan 7,440 kg karkas babi bernilai RM260,400, selain sebuah kontena dan dua forklift dengan nilai keseluruhan RM341,600.
Di Taman Ehsan Industrial Park, Kuala Lumpur pula, sebanyak 45,684 kg karkas ayam bernilai RM1,142,100 dirampas selepas disyaki menggunakan sijil halal palsu.
DVS memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut peruntukan Akta Binatang 1953 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
Jabatan itu turut menegaskan kerjasama antara agensi penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang, sekali gus memastikan kepentingan dan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.
The post DVS rampas karkas ayam, babi dan aset bernilai lebih RM2 juta appeared first on The Reporter.






