Roti busuk bongkar sindiket dadah di Bangkok

10 Nov 2026 • 5:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Roti busuk bongkar sindiket dadah di Bangkok

BANGKOK: Tindakan sekumpulan penghuni kondominium yang kerap memesan roti dalam kuantiti besar sebelum membiarkannya busuk membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran dadah di Bangkok.

Serbuan pihak berkuasa Thailand itu membawa kepada penahanan tiga suspek serta rampasan dadah bernilai lebih dua juta baht (kira-kira RM242,442).

Siasatan bermula selepas pegawai Biro Pencegahan Narkotik (NSB) menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di sebuah kondominium di kawasan berkenaan.

Menurut penyiasat, sekumpulan penghuni berkenaan berulang kali memesan roti dalam jumlah besar, namun membiarkannya di luar unit kediaman sehingga busuk dan dipenuhi semut.

Perbuatan luar biasa itu menimbulkan syak wasangka pesanan makanan berkenaan digunakan sebagai helah untuk menjalankan kegiatan haram.

Hasil pemantauan, pegawai mendapati beberapa individu keluar masuk dari sebuah unit kediaman secara bergilir-gilir.

Penyiasat turut mengesan aktiviti penyerahan roti kepada penghantar makanan yang berlaku lebih 20 kali sehari.

Polis kemudian mengekori seorang penghantar makanan ke lokasi penghantaran sebelum menahannya untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati dadah disembunyikan di dalam roti berkenaan.

Maklumat daripada penghantar itu membawa kepada penahanan seorang wanita warga Thailand berusia 29 tahun, Chanyanuch, yang bertanggungjawab membungkus dan mengedarkan dadah berkenaan.

Polis menyerbu unit kondominium wanita itu di kawasan On Nut pada 9 November lalu dan merampas 510 gram kokain, 18.8 gram syabu, 73.9 gram ketamin serta wang tunai melebihi 100,000 baht (RM12,124).

Polis berkata, kokain yang diedarkan dalam operasi itu dibahagikan kepada tiga gred, iaitu pelet kokain mampat yang dikenali sebagai ‘gred cantik’, Kokain 95 yang merupakan kokain tulen dan Kokain 85 yang mengandungi 15 peratus serbuk kapur putih.

Sepanjang operasi, polis merampas kira-kira 650 gram kokain yang dianggarkan bernilai dua juta baht.

Antara barangan lain yang dirampas ialah bahan pembungkus roti, alat penimbang, mesin pengisar, empat telefon bimbit serta sekotak kapur putih papan hitam.- AGENSI

The post Roti busuk bongkar sindiket dadah di Bangkok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved