
PETALING JAYA – Malaysia mahu hubungan e-dagang rentas sempadan dengan China diperkukuh bagi membuka lebih banyak ruang kepada produk tempatan menembusi pasaran negara itu secara lebih langsung.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu penting bagi memastikan produk berkualiti tinggi Malaysia bukan sahaja mendapat akses lebih luas, malah mampu sampai terus kepada pengguna China.
Menurut beliau, potensi tersebut turut diterokai menerusi lawatan ke Alibaba Group dengan memberi tumpuan kepada bagaimana ekosistem e-dagang China yang maju boleh dimanfaatkan oleh perniagaan Malaysia.
“Banyak produk Malaysia sudah mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna China, termasuk durian, sarang burung, kopi putih, kraftangan dan batik.
“Justeru, kita mahu membina momentum ini melalui hubungan e-dagang yang lebih kukuh supaya lebih banyak produk Malaysia yang berkualiti dapat menembusi pasaran China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian China International Small and Medium Enterprises Fair (CISMEF) Ke-21 dan Majlis Pembukaan Pavilion Malaysia di Guangzhou, hari ini.
Steven Sim berkata, perkembangan e-dagang rentas sempadan perlu berlaku secara seimbang dan saling menguntungkan antara kedua-dua negara.
“Ini bukan sekadar mengenai perdagangan, tetapi tentang membuka peluang baharu kepada usahawan kita untuk berkembang, bersaing dan menembusi pasaran global,” katanya.
Dalam misi perdagangan itu, beliau mengetuai penyertaan 12 syarikat dan koperasi Malaysia di CISMEF yang mewakili sektor makanan dan produk kesihatan.
Beliau berkata, penyertaan tersebut mengetengahkan keupayaan jenama Malaysia dari segi inovasi, kualiti dan daya saing selain mencerminkan potensi hampir 1.3 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.
Steven Sim turut melihat Malaysia mempunyai kelebihan melalui kepelbagaian, kreativiti dan keunikan produk yang mampu memenuhi keperluan serta cita rasa pasaran global.
“Jika Delta Sungai Mutiara yang menempatkan Guangzhou dikenali sebagai ‘Factory of the World’, manakala Malaysia dikenali sebagai ‘Crossroads of Asia’, maka kita juga mempunyai potensi untuk muncul sebagai ‘Boutique of the World’ dengan menawarkan produk yang unik, kreatif dan berkualiti tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, nilai eksport PMKS Malaysia mencecah RM214.5 bilion pada 2025, meningkat 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah berkenaan menyumbang hampir 15 peratus daripada keseluruhan eksport negara dan disifatkan sebagai bukti keupayaan PMKS tempatan memenuhi cita rasa, trend serta piawaian pasaran antarabangsa.
“PMKS kita sudah membuktikan bahawa mereka mampu bersaing di peringkat global.
“Langkah seterusnya adalah memastikan lebih banyak akses, platform dan saluran pasaran disediakan supaya mereka dapat berkembang dan pergi lebih jauh,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post E-dagang Malaysia-China harus diperkukuh, perluas pasaran produk tempatan appeared first on Kosmo Digital.





